校史 Sejarah Sekolah

1938 : Sekolah Ave Maria yang dikenali dengan nama Sekolah Convent Cina telah didirikan di Pusat Katolik di Jalan Sultan Idris , Ipoh. Sekolah ini ditubuhkan oleh pengasasnya Reverend Mother Pauline Lagrix ( 1899 -1988 ) untuk menawarkan peluang pelajaran ( khasnya pelajaran Cina ) kepada budak-budak perempuan.

1945: Selepas Perang Dunia Kedua ,Rev. Mother Pauline membangunkan semula sekolah ini dengan nama baru " Convent Teik Siew" yang bererti " Convent Pendidikan Akhlak ". Sekolah ini menduduki sebahagian daripada bangunan Convent of the Holy Infant Jesus di Jalan Sultan Idris,Ipoh.

1948 : Bila banci bertambah, sekolah ini terpaksa dipindah ke kawasan baru di Jalan Chung Thye Phin. Sekolah baru ini yang dinamakan " Sekolah Ave Maria Convent " dimulakan dengan 12 buah bilik darjah iaitu darjah satu hingga darjah enam, Sister Thomas Foo dilantik sebagai Guru Besar pertamanya.

1958 : Sekolah ini berubah daripada sebuah sekolah mubaligh menjadi sekolah bantuan kerajaan. Bangunan-bangunan dan tapak sekolahnya merupakan milik " Sisters of St. Mour" sementara bantuan penyekolahannya daripada kerajaan.

1962 : Sebuah kolam renang telah dibina dengan wang kutipan daripada satu pesta ria.

1967 : Sebuah dewan bersama 4 buah bilik darjah dan 7 buah tandas telah siap dibina. Dengan adanya 36 buah bilik darjah,sekolah dibahagikan kepada sesi pagi dan sesi petang.

1974 : Dengan bantuan kewangan PIBG, sebuah perpustakaan yang selesa telah siap dibina.

1978 : Sister Thomas Foo,Guru Besar pertama sekolah ini mengambil keputusan untuk bersara selepas berkhidmat selama 30 tahun. Tempatnya diambil alih oleh Sister Mary Christine.

1981 : Puan Yeoh Kian Teik menjadi Guru Besar apabila Sister Mary Christine ditukarkan berkhidmat di tempat lain. Pada tahun yang sama SRJK(C) Ave Maria Convent dipilih sebagai salah sebuah daripada 7 buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina yang dijadian Sekolah Percubaan KBSR.

1982 : Klinik Pergigian telah dimulakan untuk memberi perkhidmatan kepada murid-murid.

1983 : Puan Ching Kong Sing mengambil alih tempat Puan Yeoh yang bersara pada bulan JUn dan menjadi Guru Besar yang ke -4.

1988 : Sebahagian daripada perpustakaan diubahsuai menjadi bilik komputer. Beberapa bilik stor juga telah ditetapkan sebagai Pusat Sumber Kecil bagi menyimpan alat-alat pandang dengar mata pelajaran masing-masing.

1990 : Hawa dingin telah dipasang di perpustakaan dan bilik komputer dengan kutipan wang yang didapati melalui penganjuran suatu walkaton oleh PIBG.

1992 : Bilik Kemahiran Hidup telah didirikan di sebelah Dewan Sekolah dengan bantuan kewangan PIBG.

1993 : Kantin sekolah telah diubahsuai. Meja dan bangku telah ditambah. Kipas telah dipasang. Bilik Guru juga telah diperbesarkan.

1994 : Pejabat sekolah telah diubahsuai.Bilik guru mendapat perabot baru. Lantai simen kantin ditukarkan kepada lantai mozik.

1995 : Sebuah dewan serbaguna untuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah telah dibina dengan sokongan dari Lembaga Pengurus,PIBG,guru-guru,murid-murid dari kedua-dua buah sekolah ini.

1999 : Rancangan Sekolah Bestari dimulakan dengan bantuan dan sokongan penuh daripada PIBG. Untuk fasa pertama, 2 buah bilik Audio-Visual dan sebuah bilik CAL telah dibina.

2000 : Pn. Mar Lee Chin mengambil alih tempat Pn. Ching Kong Sing yang bersara pada bulan Jan dan menjadi Guru Besar ke-5.

2001 : Dengan bantuan PIBG,Bilik Guru Besar, Bilik Penolong Kanan dan Pejabat Sekolah telah diubahsuai. Pondok Bacaan juga diubahsuai menjadi Bilik Gerakan dan Bilik Bimbingan.

2002 : Fasa Kedua projek sekolah bestari telah dimulakan dengan mengubahsuaikan 8 buah bilik darjah supaya menjadi Bilik Darjah Bestari yang dilengkapi dengan LCD projector dan komputer.

2004 :Proses pengotomasian buku-buku dalam pusat sumber sekolah dijalankan.

2005 :Pusat sumber diubahsuai sekali lagi dengan tujuan menjadikan
PSS sebagai sebuah ‘Pusat Sumber Elektronik’. Tahun ini, sekolah kami dianugerahkan ‘Sekolah 5 Bintang Peringkat Negeri’. Dalam Majlis Anugerah Gemilang Akademik 2005 , Sekolah kami telah mendapat 3 anugerah daripada Jabatan Pelajaran Perak iaitu
i) Kategori Peperiksaan UPSR Pencapaian Kuatiti SJK( C ) Bandar
ii) Kategeri Peperiksaan UPSR Pencapaian Kualiti SJK( C )
iii)Anugerah Perdana Khas Sekolah Rendah

2006 :Dana daripada Hari Kantin Tahun 2005 telah digunakan untuk
membina semula tembok kantin yang hampir roboh dan juga mempertingkat kemudahan fizikal kantin. Projek ini telah dapat disempurnakan dengan jayanya dalam bulan Mac 2006. Atas jasa baik Y.B. Datuk Chew Wai Khoon memberi peruntukan sebanyak RM 27000, “Laluan Gajah Menyusur” telah dibina untuk memberi kemudahan yang lebih baik kepada murid-murid terutama pada hari hujan.Pihak PIBG juga membina semula tapak perhimpunan untuk meningkatkan kemudahan fizikal bagi memberi suasana yang lebih kondusif kepada murid-murid di sekolah ini. Selain itu, sebuah taman bunga mini telah dibina di sebelah klinik pergigian untuk meningkatkan keceriaan sekolah.Ketiga-tiga projek tersebut telah disiapkan dalam bulan Disember 2006.

2007 : Sekolah mendapat peruntukan sebanyak RM20,000 daripada JPN untuk mengubahsuai tingkap bilik darjah tahun 1/4.Y.B. Dato Chew Wai Khoon (wakil rakyat Tebing Tinggi) telah berusaha untuk mendapat sumbangan sebanyak RM250,000 daripada pihak kerajaan untuk membina semula tandas lama murid-murid serta guru-guru. Beliau juga telah berusaha untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM28,000 untuk mengubahsuai serta meningkatkan fizikal bilik pemulihan.

2008 : Konsert Amal yang ditaja oleh "Tiger Beer" telah diadakan di Hotel Syuen. Konsert Amal tersebut diadakan untuk mengumpul dana bagi tujuan pembinaan sebuah bangunan tingkat tiga yang akan dibina di tapak bangunan-bangunan Bilik Gerakan, Bilik Agama, Bilik Bimbingan Kaunseling dan Klinik Gigi di mana bangunan-bangunan tersebut dimakan anai-anai. Konsert tersebut telah berjaya mengumpul dana berjumlah RM 740,592.30.

2009 :  Projek Ransangan Ekonomi daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, RM 50,000 diperuntukan untuk mengecat sekolah dan RM 20,000 untuk penyelenggaraan bilik darjah Tahun 5, 6 dan Bilik Guru.

2010 :  Puan Mar Lee Chin telah bersara sebagai guru besar pada 13.12.2010. Beliau telah berkhidmat sebagai guru besar di SJK(C) Ave Maria Convent, Ipoh mulai 01.02.2000 hingga 13.12.2010. Puan Tan Lee Ei mengambil alih tempat Puan Mar Lee Chin mulai 16.12.2010. Tapak Gelanggang Sukan Berbumbung siap dibina pada Disember 2010. Tapak ini dibina untuk pelbagai kegunaan. 

2011 :  Konsert ‘Night of Joy’ telah dijalankan pada 22 Oktober  2011. Tujuannya adalah untuk  mengutip   
derma bagi membeli alat-alat muzik cina. Konsert ini Berjaya memungut wang berjumlah RM108,268.00. Sekolah kita telah dianugerahkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) fasa 5/2011 pada bulan November 2011. Sekolah telah menerima peruntukkan sebanyak RM250,000.00 dan telah memilih Bahasa Melayu dan Muzik sebagai kebitaraan sekolah. 

2012 : Majlis Penyerahan Cek Peruntukan RM100,000 oleh YB Dato' Seri Ahmad Husni Hanadziah SPMP.,DPMP.,JP.,AMP., PPT telah diadakan pada 2 Januari 2012. Peruntukan tersebut digunakan untuk meningkatkan kemudahan Bilik Gerakan. 'New Deal' (Tawaran Baharu) ditawarkan sekali lagi pada tahun 2011 dan diterima oleh semua warga SJKC Ave Maria Convent pada tahun 2012.Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah telah Berjaya dijalankan pada 29 September2012. Penyelenggaraan Makmal Komputer dijalankan dengan sempurna daripada dana PIBG. Makmal Bahasa dan Papan Laluan Ilmu dapat disempurnakan melalui wang peruntukan dari Sekolah Kecemerlangan Kluster.'Night of Rhythm' dijalankan pada 2 November 2012. Wang yang dikumpul digunakan untuk penyelenggaraan Bilik Orkestra Cina dan pembelian alat-alat muzik Orkestra Cina. Sekolah dianugerah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort 2 pada 27 Disember 2012. 

2013:  Melalui peruntukan khas SBT (Sekolah Berprestasi Tinggi) pihak sekolah dapat menaikkan taraf PSS (Pusat Sumber Sekolah), pejabat sekolah, bilik Guru Besar, Penolong Kanan, bilik guru, makmal Sains serta mewujudkan bilik ‘Merryland’ (Bilik Bimbingan & Kaunseling). Dengan menggunakan peruntukan khas ini, pihak sekolah juga dapat mengecat semua bilik darjah dan koridor blok lama. Di samping itu, kerja penyelenggaraan kolam renang dijalankan dengan lancar. Selain itu, Galeri Sekolah diwujudkan serta pengubahsuaian muka sekolah untuk penampilan yang lebih ceria dan selesa. Pengubahsuaian pondok jaga hadapan dan belakang sekolah dapat disiapkan dengan sempurna. Dewan kecil sekolah dapat dipasang dengan pendingin udara atas sumbangan AJK PIBG, LPS dan Alumni sekolah. Dewan Chin Pek Soo  dipasang dengan pendingin udara, menaik taraf kuasa elektrik (TNB), pengubahsuaian tingkap-tingkap dewan, kerja mengecat dan pemasangan Skrin LCD melalui wang  peruntukan Pakej Rancangan Khas serta dana daripada SMK Ave Maria Convent.

2014: Bilik Kemahiran Hidup(KH) telah diubah kepada Bilik Alat Bantuan Mengajar(ABM) manakala bilik ABM dijadikan bilik KH. 13 buah bilik darjah dipasang dengan ‘IQ Board’ manakala Bilik Sains dipasang dengan ‘Promethean Smartboard.’ Galeri AMC dinaik tarafkan dengan binaan kabinet untuk memaparkan piala pencapaian sekolah. Kolam renang dinaik tarafkan dengan cat baharu dan menukar jubin di dalam kolam renang dan bilik persalinan. Bilik stor di kawasan kolam renang juga dinaik tarafkan. Kedai buku sekolah serta bilik stor sekolah juga dinaik tarafkan.Jamuan Hari Guru pada 27 Jun 2014 bersamaan dengan hari Jumaat telah diadakan di Hotel Kinta Riverfront. Jamuan Tamat Persekolahan bagi murid-murid tahun 6, Hari Anugerah serta Konsert ‘Night of Love’ telah diadakan pada 7 November 2014 bersamaan dengan hari Jumaat juga telah diadakan di Hotel Kinta Riverfront. Kantin sekolah yang lama telah dinaik tarafkan untuk keselesaan dan kemudahan para murid. Kafeteria yang berhawa dingin diwujudkan untuk keselesaan para guru dan staf sekolah. Kantin lama yang dioperasi oleh sebuah gerai telah diganti dengan tiga buah gerai yang baharu.


 

Comments